“Assalamua’alaikum!” ujar Ustazah Humaira sebaik sahaja keluar dari kereta Proton Saga berwarna ungu yang diparkir di tepi jalan, berhampiran Masjid Al-Ikhwan.
“Wa’alaikumsalam warahmatullah..” jawab gadis bertudung hitam yang sedang berdiri di tepi pagar Masjid Al-Ikhwan itu.
“Minta maaf, kakak datang lewat. Sudah lama Salmi menunggu?” soal Ustazah Humaira apabila semakin menghampiri Salmi lalu menyambung kata-katanya, “Kakak ada mesyuarat tadi, lepas itu kakak pergi solat Maghrib di Masjid Bandaraya sebentar sebelum bergerak ke sini!” ujarnya lagi.
“Lebih kurang setengah jam begitu, tapi kakak jangan risau, Salmi faham juga keadaan kakak. Insya’ Allah!” kata adik sepupunya sambil menahan tudungnya yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, agar tidak terdedah auratnya. Di bibirnya terleret sebentuk senyuman. Namun entah mengapa Ustazah Humaira merasa kurang sesuatu dengan senyuman itu. Tidak ceria seperti selalu ketika bertemu, bagaikan ada sesuatu yang terselindung.
“Salmi sudah makan malam?”
“Belum.” Geleng Salmi lalu menghulur tangan untuk berjabat.
“Kalau macam itu kita pergi makan dulu ya.” Kata Ustazah Humaira setelah mencapai huluran tangan adik sepupunya yang sudah lama tidak bersua muka, kerana sibuk dengan urusan kerja. Rindu dalam hatinya yang mekar atas dasar ukhuwah Islamiyyah rasa terubat.
“Salmi mahu makan malam di mana?”
Salmi menggumam seketika lalu berkata, “Em, kakak yang tentukan. Saya ikut saja.”
Tali pinggang keledar dipasang sebagai keselamatan sejurus pintu kereta ditutup dan badan dihenyakkan di atas kerusi. Stering kereta dipulas dengan kemas, kereta Proton Saga berwarna ungu itu pun bergerak meninggalkan kawasan perumahan Kuala Menggatal.
“Ayah dan ibu sudah maklum yang Salmi tidur di rumah kakak malam ini?”
“Sudah. Salmi telefon ayah tadi, beritahu yang Salmi bermalam di rumah kakak malam ini. Salmi beritahu, besok baru Salmi balik.” Jawab Salmi dengan suara yang mendatar.
“Alhamdulillah, eloklah begitu. Kalau tidak, nanti bimbang pula ayah dan ibu Salmi di rumah.”
Suasana senyap seketika, tiada perbualan yang berlangsung. Dalam keadaan itu, Ustazah Humaira perasan wajah adik sepupunya itu kelam dan muram.
“Kenapa Salmi nampak muram saja daripada tadi, suara pun tidak bersemangat. Salmi ada masalahkah?” tanya Ustazah Humaira memutuskan kesunyian.
Salmi masih diam tidak menjawab.
“Salmi!”
“Ya ada apa, kakak?” tanya Salmi dengan nada yang terkejut dan gelabah. Ternyata fikiran Salmi menerawang jauh sebentar tadi sehingga tidak menyedari soalan Ustazah Humaira kepadanya.
Ustazah Humaira senyum lalu mengulangi soalannya, “Salmi ada masalahkah? Salmi nampak muram sahaja kakak tengok daripada tadi. Sampai kakak soal pun Salmi tidak perasan.”
Salmi diam lagi lalu menundukkan kepalanya. Terdengar nafas yang ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan beserta keluhan. Pandangannya di angkat semula lalu dilempar jauh ke jalan raya yang di penuhi kenderaan.
“Kalau Salmi ada masalah beritahulah pada kakak. Kakak sedia mendengarnya. Mungkin kakak dapat bantu Salmi selesaikan masalah yang menghantui fikiran Salmi itu.” Ustazah Humaira cuba memujuk.
Salmi menoleh tepat memandang Ustazah Humaira, lalu berkata, “Lepas makan malam saya akan beritahu pada kakak, boleh?”
“Kalau Salmi cakap begitu, baiklah.” Jawab Ustazah Humaira mengangguk. “Tapi kakak ada satu permintaan dengan Salmi?”
“Apa dia permintaan kakak?” tanya Salmi mengangkat keningnya.
“Bolehkah Salmi senyum sedikit, kakak tidak mahu tengok wajah Salmi muram, nanti hilang serinya.” Ujar Ustazah Humaira dengan nada yang ceria. Salmi pun mengangguk lalu cuba menguntumkan sebuah senyuman di bibirnya.
“Macam itulah. Sekarang ini Salmi rehatkan dahulu fikiran Salmi. Lupakan dahulu masalah Salmi itu buat seketika. Tidak elok menghadap makanan dalam keadaan muka yang masam. Nanti tidak terasa pula nikmatnya.”
“Baik, kakak!” jawab Salmi bersemangat. “Em, kakak mahu bawa Salmi makan malam di mana malam ini?”
“Malam ini, kakak mahu bawa Salmi menjamu selera di Anjung Selera, tidak jauh dari Taman Teluk Likas.” Kata Ustazah Humaira. Pedal minyak kereta proton itu ditekan kemas dengan kaki kanannya, lalu kereta itu terus menyusur dengan laju di sepanjang jalan Sulaman.
Selepas usai menghabiskan hidangan yang tersedia di dalam pinggan dan membasahkan tekak dengan jus yang tersedia di dalam gelas, Ustazah Humaira pun berkata kepada sepupunya, “Jadi, Salmi sudah bersedia untuk luahkan masalah Salmi pada kakak?”
Salmi diam seketika mendengar soalan kakak sepupunya itu. Pinggan yang terletak di hadapannya disisihkan ke tepi meja dengan kemas. Nafasnya ditarik dalam-dalam lalu dihembuskan perlahan-lahan. Dia cuba mengingat semula masalah yang telah dilupakan daripada kotak fikirannya seketika tadi dan cuba meneguhkan hatinya untuk meluahkannya.
“Macam ini, kakak. Sebenarnya Salmi dimarahi oleh ayah kelmarin.” Luah Salmi lalu berhenti sejenak.
“Dimarahi kenapa?” tanya Ustazah Humaira sambil menyedut jus di dalam cawan melalui straw.
“Kelmarin Salmi berjumpa dengan teman lelaki Salmi di taman, jadi ayah nampak Salmi berdua-duaan dengan teman lelaki Salmi.” Jawab Salmi dengan suara yang perlahan sambil tertunduk.
“Bila Salmi balik saja ke rumah, ayah marah teruk dengan Salmi. Ayah marah sangat, tidak seperti selalu. Tetapi Salmi rasa, Salmi tidak buat salah pun dengan teman Salmi itu, kami tidak bersentuhan pun, kami cuma berbual-bual sahaja. Lagipun, tempat itu adalah terbuka.”
“Berbual-bual dua orang di tempat terbuka?” tanya Ustazah Humaira inginkan penjelasan.
“Ya.” Jawab Salmi ringkas.
Ustazah Humaira yang mendengar jawapan sepupunya itu menarik nafas dalam-dalam.
“Salmi...” Ustazah Humaira memanggil nama Salmi dengan mesra lalu memasang jeda sebelum menyambung semula. Dia berkata, “Kakak pernah beritahu kepada Salmi bukan, walaupun tidak bersetuhan, berbual-bual antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan syarak dan boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang. Apatah lagi dalam keadaan yang jelas boleh menimbulkan fitnah sebegitu. Ianya boleh termasuk dalam perbuatan yang boleh menghampirkan diri kepada zina.”
“Boleh kakak tahu, siapa nama teman lelaki Salmi itu?” tanya Ustazah Humaira.
Salmi menjawab, “Nama dia Fakhrul, kakak.”
Ustazah Humaira menarik nafas dalam-dalam, kemudian menyambung kembali kata-katanya tadi, “Walaupun Salmi tidak bersentuhan dengan Fakhrul, tetapi perbuatan Salmi berdua-duaan dengan dia adalah haram di sisi syarak, walaupun ditempat awam dan terbuka. Perkara itu tetap kurang elok dan tidak manis di pandang orang, adikku. Bahkan, perbuatan bercinta dan berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tanpa ikatan yang sah sebagai suami isteri itu bukanlah budaya kita sebagai orang Islam.”
“Tapi, mengapa Salmi lihat ramai remaja sekarang ini berpasangan-pasangan, malah yang belajar di sekolah agama pun ada?” tanya Salmi keliru bila mengingatkan keadaan rakan-rakannya di sekelilingnya.
“Salmi, kebenaran tidak diukur dengan keramaian. Walaupun ramai orang yang buat sesuatu perkara itu, ianya tidak bermakna perkara tersebut benar. Malah sering kali perkara yang dilakukan kebanyakan orang itu adalah perkara yang salah. Lagi satu, belajar agama tidak semestinya apa yang seseorang itu buat pasti betul. Ada orang yang tahu kebenaran, tetapi dia tidak amalkan apa yang di tahu.”
“Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis, bahawa Islam itu datang dalam keadaan asing, dan di akhir zaman, ianya akan kembali menjadi asing. Nabi Muhammad s.a.w sebutkan juga, dan beruntunglah orang-orang yang asing itu.”
“Oleh itu, penentu kebenaran itu bukannya keramaian atau pun majoriti, tetapi penentunya adalah firman Allah s.w.t, dan sabda Rasul-Nya berdasarkan kefahaman Salafus Soleh.” Jelas Ustazah Humaira dengan panjang lebar. Kata-katanya disokong lagi dengan sebuah hadis.
“Salafus Soleh itu apa, kakak?” tanya Salmi. Mungkin kali pertama dia mendengarnya.
“Salafus Soleh itu adalah orang-orang Soleh yang hidup pada kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah, yang mana mereka itu dijamin kebaikannya oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai sebaik-baik umat.” jawab Ustazah Humaira.
“Oh, macam itu.” Salmi mengangguk mendengar kata-kata Ustazah Humaira. Hatinya tersentuh.
Ustazah Humaira senyum dan merenung mata Salmi dengan mesra, lalu berkata lagi, “Salmi perlu berfikir dengan bijaksana. Lebih-lebih lagi ayah Salmi seorang yang dikenali sebagai orang yang beragama dan sering berkata tentang isu-isu agama, apa pula kata orang, bila melihat anak beliau berkelakuan berdua-duaan dengan lelaki ditempat awam? Sudah tentu ianya akan menimbulkan prasangka buruk dan kata-kata yang kurang elok seterusnya akan menjatuhkan air muka ayah Salmi, bukan?”
“Ya, kakak.” Jawab Salmi dengan perlahan. Dia teringat, beberapa hari yang lepas, tanpa disangka-sangka, dia terdengar perbualan beberapa orang jirannya yang mengumpat tentang dirinya. Mengenang itu, ada satu perasaan sedih meresap masuk ke dalam hatinya. Dia merasa bersalah terhadap kedua ibubapanya atas apa yang telah dilakukannya. Dia berkata, “Nampaknya Salmi yang bersalah dalam hal ini.”
“Ingat Salmi, walaupun perasaan cinta itu adalah fitrah, tetapi apabila ianya membuatkan kita melanggar batas-batas yang ditetapkan Allah s.w.t, maka ianya akan menjadi fitnah.”
“Cinta itu amat luas, dan tidak terhad kepada cinta antara lelaki dan perempuan sahaja. Ada cinta kepada Allah s.w.t, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibubapa dan saudara seagama serta alam. Seutama-utama cinta adalah cinta kepada Allah s.w.t, kemudian Rasul dan seterusnya ibubapa atau pun suami bagi wanita yang sudah berumah tangga. Itu lebih patut kita utamakan dalam kehidupan ini.” Kata Ustazah Humaira sambil membilang satu persatu dengan jari tangan kanannya.
“Ya, terima kasih kakak, kerana nasihatkan Salmi.” Ujar Salmi. “Kalau kakak tidak nasihatkan Salmi, mungkin Salmi masih tidak sedar kesilapan Salmi...”
“Sama-sama, Salmi.” Kata Ustazah Humaira sambil menggosok-gosok pipi Salmi seperti budak-budak.
Keceriaan mula terpapar dengan jelas di wajah Salmi. Keceriaan yang terbit telus daripada hati sanubarinya. Ustazah Humaira turut ceria melihat keadaan Salmi sedemikian rupa.
“Jadi Salmi mahu buat apa lepas ini?” tanya Ustazah Humaira.
Salmi memejam matanya seperti orang yang berfikir. Matanya dibuka semula lalu berkata, “Salmi fikir, Salmi mahu putuskan hubungan Salmi dengan Fakhrul. Salmi mahu perbetulkan kesilapan yang Salmi telah buat. Memandangkan usia Salmi yang masih muda, selepas ini, Salmi mahu tumpukan fikiran Salmi kepada pelajaran di IPT yang bakal Salmi tempuhi di masa hadapan. Dan...”
“Dan apa dia?” tanya Ustazah Humaira ingin tahu.
“Dan paling penting, berusaha untuk menanamkan cinta yang teguh kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya teguh di dalam hati, seterusnya kepada ibubapa, saudara seagama dan alam.” Ujar Salmi sambil tersenyum membuatkan kedua-dua mata kelihatan sepet.
“Alhamdulillah...” ujar Ustazah Humaira.
No comments:
Post a Comment