“Assalamua’alaikum!” ujar Ustazah Humaira sebaik sahaja keluar dari kereta Proton Saga berwarna ungu yang diparkir di tepi jalan, berhampiran Masjid Al-Ikhwan.
“Wa’alaikumsalam warahmatullah..” jawab gadis bertudung hitam yang sedang berdiri di tepi pagar Masjid Al-Ikhwan itu.
“Minta maaf, kakak datang lewat. Sudah lama Salmi menunggu?” soal Ustazah Humaira apabila semakin menghampiri Salmi lalu menyambung kata-katanya, “Kakak ada mesyuarat tadi, lepas itu kakak pergi solat Maghrib di Masjid Bandaraya sebentar sebelum bergerak ke sini!” ujarnya lagi.
“Lebih kurang setengah jam begitu, tapi kakak jangan risau, Salmi faham juga keadaan kakak. Insya’ Allah!” kata adik sepupunya sambil menahan tudungnya yang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, agar tidak terdedah auratnya. Di bibirnya terleret sebentuk senyuman. Namun entah mengapa Ustazah Humaira merasa kurang sesuatu dengan senyuman itu. Tidak ceria seperti selalu ketika bertemu, bagaikan ada sesuatu yang terselindung.